Kementerian Pembangunan adakan Majlis Nuzul Al-Quran, penyampaian derma



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Mac. - Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Nuzul Al-Quran bagi Tahun 1447 Hijrah dan penyampaian Derma Anak-anak Yatim di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Industri dan Pembinaan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Hasyr, ayat 18 hingga 24 oleh Awang Abdul Halim bin Haji Jainih@Haji Zaini daripada Pejabat Tanah Daerah Temburong, diikuti dengan bacaan terjemahannya oleh Awang Khairulakmal Hafizi bin Moharor daripada Pejabat Tanah Daerah Brunei dan Muara.


Kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim seramai 87 orang yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis. Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Tanah itu diadakan bertujuan untuk menyemarakkan lagi majlis sempena Nuzul Al-Quran bagi Kementerian Pembangunan.


Di samping itu, majlis juga diharap akan menyemai semangat keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat khususnya kepada anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.


Melalui bacaan ayat suci Al-Quran serta penyampaian derma kepada anak-anak yatim, acara ini diharap dapat memperkukuh nilai ukhuwah, meningkatkan ketakwaan serta mengingatkan kita semua tentang tanggungjawab untuk terus beramal dan berbakti sesama insan terutama di bulan Ramadan.


Close